Firman Allah

Saturday, August 4, 2012

DOA MUDAH UNTUK ANAK2...


Assalamualaikum  
Hari Jumaat lepas saya mendengar radio IKIM dalam slot usrati
membincangkan tentang kepentingan ibadah dalam keluarga.Terlalu banyak
ilmu yang saya dapat walaupun tak sempat saya nak catit satu persatu.
Tetapi ada satu perkara yang dibangkitkan oleh Ustazah jemputan
betul-betul telah menarik perhatian saya.

Sebenarnya, waktu itu juga kalau boleh saya ingin berkongsi tentang
menariknya perkongsian dari ustazah itu, tetapi kerana kerja yang
banyak, lalu saya tangguhkan sahaja. Tetapi bila fikir tentang kerja
yang memang tak akan pernah sudah, sampai bila mahu menangguh kan?
Jadi hari ni sebelum saya terlupa, baik saya kongsikan dengan ibu bapa
kat sini.

Ada satu DOA yang mudah dan cepat dan pendek, yang paling senang untuk
diamalkan oleh kedua ibu bapa untuk anak-anak mereka, tetapi sering
sahaja terlepas pandang.

Doa itu adalah :

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH YA ....
(sebutkan nama penuh anak)

Ya. Itu sahaja baris doanya. Mudah bukan? Tetapi termasuklah saya,
sangatlah selalu terlepas pandang akan keistimewaan doa ini. Ok, mari
di sini kita catatkan mengapa doa ini terlalu istimewa untuk anak-anak
kita :

Pertama sekali, ibu bapa hendaklah menjiwai doa itu sedalam dalamnya
semasa ia diucapkan buat si anak. Mengapa? Kerana maksud yang
terkandung di dalamnya sangatlah membantu dalam kehidupan seharian
anak. Selalu kita hanya sebut Assalamualaikum sahaja kan.. (ini saya).
Selepas mendengar penjelasan ustazah itu, saya cuba kalau boleh ingin
mengucapkan nya penuh kepada anak saya. ASSALAMUALAIKUM
WARAHMATULLAHIWABARAKATUH dengan cuba menjiwai setiap ungkapan yang
diucapkan. Kenapa istimewa? Mari kita tengok maknanya (ini yang saya
sempat salin. Kalau ada yang saya tertinggal, minta kawan-kawan tambah
ya):

 1- ASSALAM : SEJAHTERA.

Awal-awal lagi kita sudah mengucapkan segala kebaikan untuk anak kita
pada hari itu. Kita mendoakan segala kesejahteraan buat dirinya pada
waktu itu.

 2- WARAHMATULLAH : RAHMAT ALLAH.

Kita mengharapkan rahmat Allah menjadi bekalan untuk anak-anak kita
dalam kehidupan seharian mereka. Bukankan rahmat Allah itu yang
sangat-sangat kita harapkan?

 3- WABARAKATUH : BERIKAN BERKAT KEPADANYA WAHAI ALLAH

Kita mendoakan anak-anak kita diberi berkat oleh Allah, dalam setiap
amalannya, perbuatannya, dan apa sahaja yang berkaitan dengan dirinya,
kita mahukan keberkatan untuknya.

 Lalu, memang 'terbuka' lah mata saya pada hari itu, betapa
bermaknanya ungkapan doa yang cukup ringkas ini untuk anak-anak.

 Kata ustazah itu, waktu paling bagus untuk mengucapkannya buat si
anak adalah ketika mengejutkan dia bangun dari tidur. Bayangkan sahaja
lah, celik-celik matanya sahaja sudah memperoleh doa dari ibu atau
ayah yang cukup bermakna lagi indah untuknya. Selain itu, boleh juga
diamalkan mungkin waktu menghantar atau menjemput dia dari sekolah,
atau bila-bila masa sahaja ibu dan ayah ingin mengucapkannya untuk
anak.

 Jiwailah salam dan doa itu. Hayati setiap rangkai maksudnya. Tujukan
dengan penuh kasih dan cinta buat si anak. Senyum penuh sayang kepada
mereka, ketika kita mengucapkan.

 Semoga anak-anak kita sentiasa sejahtera, dalam rahmat Allah dan
sentiasa diberi keberkatan dalam hidup mereka oleh Allah.

Doa yang sama kita ucapkan kepada kawan-kawan kita apabila memberi
salam juga insyaallah =)

Dan saya teringat pula petikan hadis yang saya baru baca pagi tadi di
blog ustazah Siti Khadijah yang berbunyi:

"Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang
mendekati Nabi Muhammad saw. Lelaki itu berkata, "Assalamualaikum."
Nabi Muhammad saw berkata, "Dia mendapat 10 pahala." Kemudian datang
pula seorang lain yang berkata. "Assalamualaikum wa rahmatullah." Nabi
Muhammad saw berkata, "Dia mendapat 20 pahala." Kemudian datang lagi
seorang yang lain berkata; "Assalamualaikum wa rahmatullah wa
barakatuh." Nabi Muhammad saw berkata, "Dia mendapat 30 pahala."

-Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi. Kredit blog Tim Hadith Psikologi Nabi

0 ulasan:

Post a Comment